ANGKASA teroka bidang ternakan
ANGKASA teroka bidang ternakan
TEMERLOH – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengorak langkah menjalin kerjasama dua hala bersama Biovet International Sdn. Bhd. hari ini.
Kerjasama itu dimulakan dengan penyerahan 83 ekor kambing biri-biri kepada tiga koperasi ahli ANGKASA iaitu Koperasi Bimbingan Ihsan Temerloh Berhad (KOBI), Koperasi Guru-Guru Lepasan Maktab Temerloh Berhad (KOGURU) dan Koperasi Keluarga Haji Mohd Ilyas (KOPMAI).
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama dengan pihak Biovet International ini membuka jalan kepada koperasi yang mempunyai dana mencukupi untuk melabur dalam industri penternakan.
“Kita lihat bidang ternakan seperti lembu kerbau kambing biri-biri mempunyai permintaan yang besar dalam negara dan menjadi industri yang berpontensi besar yang boleh diceburi oleh gerakan koperasi.
“Ia adalah satu langkah yang tepat pada masanya dan diharap dapat menyumbang kepada Pertumbuhan Kadar Sara Diri (SSL) untuk pengeluaran daging ruminan sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.
Katanya, koperasi ahli ANGKASA yang berminat dan mempunyai dana mencukupi perlu merebut peluang ini dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama Biovet International bagi mendapatkan kepakaran dan bekalan daging tempatan pada harga berpatutan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada bekalan daging import.
“Pakej yang mereka tawarkan adalah projek ternakan secara pasaran tetap dengan kepakaran teknikal di atas tanah sendiri dengan modal minimum RM75,000 hingga RM500,000,” katanya.
Sementara itu jurucakap Biovet International memaklumkan , Hotel Veterinar Biovet Kuala Tekal di Temerloh kini memiliki hampir 600 ekor kambing daripada pelbagai jenis baka hasil daripada 345 peserta di seluruh negara.
“Biovet juga berjaya menarik minat peserta dari Belanda, Indonesia, Singapura dan Yaman yang telah menyertai program ternakan bersama kami,” katanya.
Hotel Veterinar Biovet mula ditubuhkan pada tahun 2019 bertapak di Kuala Tekal, Temerloh Pahang bermula dengan dua ekor kambing. Kini, mereka sudah mempunyai 17 buah ladang dan lebih daripada 900 ekor bebiri di seluruh negara.
Tujuan utama Biovet ditubuhkan adalah untuk meningkatkan kadar pengeluaran bebiri di Malaysia setanding dengan negara maju yang lain.-SAHIH.