45 orang pelancong tempatan diarahkan keluar dari Taman Negara Kuala Tahan
45 orang pelancong tempatan diarahkan keluar dari Taman Negara Kuala Tahan
Foto atas: Sebahagian pelancong telah mula keluar dari Taman Negara Kuala Tahan, pagi ini
JERANTUT : Pihak polis daerah Jerantut memohon semua pengunjung di beberapa tempat penginapan di Kuala Tahan untuk keluar segera daripada kawasan pelancongan itu bagi menggelakkan berlaku kejadian terkandas di situ.
Seramai 45 orang pelancong tempatan yang menginap di beberapa pusat penginapan mula keluar secara berperingkat sejak pagi hari ini berikutan paras air Sungai Tembeling naik sejak jam 7 pagi hari ini di Kuala Tahan dekat sini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Suprintenden Mazlan Hassan berkata, berasaskan trend air sungai Tembeling semakin menaik bermula di perkampungan Hulu Tembeling yang mula naik petang semalam dan pada pagi ini air sungai turut naik di Kuala Tahan.
“Pihak polis meminta kerjasama pelancong berkenaan keluar dari tempat penginapan masing-masing dibimbangi akan terkandas kerana laluan keluar ke bandar Jerantut bakal ditenggelami.
“Arus deras sungai yang menghilir akan membanjiri laluan ke bandar Jerantut di lokasi yang sering tenggelam seperti di Simpang Paya Garok dan Kampung Merting,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.
Katanya, pihak polis mendapat kerjasama yang baik daripada pengusaha tempat penginapan dan penggiat ekopelancongan di Taman Negara yang turut mengarahkan pelancong tempatan keluar segera ke bandar Jerantut dan seterusnya pulang ke destinasi masing-masing.
“Sebab itulah polis dengan kerjasama pengusaha pusat inap dan penggiat ekopelancongan di Taman Negara mengarahkan pelancong tempatan keluar segera ke bandar Jerantut dan seterusnya pulang ke destinasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata Mazlan, polis sudahpun memantau pergerakan pelancong berkenaan keluar mulai pada pagi ini dengan bantuan pengusaha pusat penginapan masing-masing.
“Segala operasi mengeluarkan mereka berjalan dengan lancar dan sehingga petang ini dan semua pusat penginapan di Taman Negara termasuk di Kampung Kuala Tahan sudah tidak berpenghuni lagi.
“Saya amat berterima kasih kepada pengusaha pusat inap, penggiat ekopelancongan serta agensi kerajaan di sini yang sangat komited memberikan kerjasama serta membantu usaha mengeluarkan pelancong dari taman ini,” katanya.
Katanya, kita tidak mahu kejadian 158 orang pelancong tempatan terkandas di beberapa pusat penginapan yang berlaku pada 17 Disember 2021 berulang.
“Saya berharap pelancong tempatan perlu merancang perjalanan ke Taman Negara pada masa akan datang khususnya ketika selepas musim banjir dan cuba mengelakkan percutian pada musim tengkujuh,”katanya.-SAHIH.