Wanita menyamun sambil bawa anak tiga tahun
Wanita menyamun sambil bawa anak tiga tahun
KOTA BHARU – Seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dengan empat kes samun barang kemas terhadap warga emas dengan membawa bersama anaknya di sekitar daerah ini dan Bachok baru-baru ini.
Wanita yang berusia 27 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Jenerak, Tawang dekat Bachok kira-kira pukul 3.15 pagi, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, wanita yang bekerja sebagai tukang masak itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bachok yang menjalankan Ops Cantas di kawasan berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati, suspek menggunakan modus operandi yang sama dengan membawa anaknya yang berusia tiga tahun dan menunggang motosikal sebelum memasuki rumah mangsa.
“Sasaran suspek kebanyakannya warga emas yang berusia lingkungan antara 70 hingga 80-an.
“Sebelum bertindak meragut barang kemas mangsa, suspek merayu meminta wang daripada mangsa dengan alasan untuk membeli susu anaknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor kosmo online.
Menurut beliau, setelah mangsa memberikan wang, suspek dengan pantas bertindak menutup muka mangsa sebelum meragut rantai leher, gelang tangan dan cincin sebelum melarikan diri.
Katanya, dalam kes yang ketiga, suspek dipercayai bersama anaknya telah masuk dapur dan meminta wang untuk membeli susu anaknya itu.