APAM BALIK HANYA 50 SEN, PENDAPATAN LUMAYAN – PAK MAJID
APAM BALIK HANYA 50 SEN, PENDAPATAN LUMAYAN – PAK MAJID
JERANTUT : Warga emas yang juga seorang seorang peneroka Felda Tekam Utara, Abd. Majid Mat Ali, 67, menjual apam balik berharga 50 sen sekeping sebagai salah satu amal jariah dalam perniagaan bagi memenuhi permintaan orang ramai yang tidak mempunyai pandapatan tinggi.
Abd. Majid yang turut dikenali dengan panggilan Pak Majid dalam kalangan peneroka di kawasan itu, menjelaskan beliau berniaga apam balik sejak pada 1998 setelah harga kelapa sawit meleset berikutan ekonomi negara merudum pada waktu itu.
“Saya menjual apam balik 50 sen sekeping dan menyifatkan harga berkenaan berpatutan dengan keinginan pelanggan mampu membelinya, malah dengan harga itu saya masih memperoleh pendapatan yang lumayan dan pulang modal pula.
“Saya ikhlas dengan pelanggan dengan menjual sekeping apam balik cuma 50 sen dan tidak langsung memikirkan atau bimbang berdepan kerugian kerana jualan ini laris dan sudah dikenali ramai,”katanya ketika ditemui di Simpang Jengka Lapan dekat sini, baru-baru ini.
Katanya, modal tidaklah banyak seperti perbelanjaan menyediakan jualan makanan lain, harga 50 sen sekeping sudah cukup mendapat pulangan yang lumayan, dia gembira sambil beramal jariah kepada pelanggan dengan harga itu.
“Waktu pagi saya masuk ke ladang sawit dan memantau pekerja, selepas solat Zohor, saya dan isteri, Jamaliah Othman memunggah peralatan menuju ke lokasi untuk berniaga apam balik bermula pada jam 3 petang di kawasan Felda Gelanggi dan Sungai Tekam dan Jengka.
“Manakala pada hari Ahad, kami berniaga di pekan sehari tempat tinggal kami di Felda Tekam Utara mulai jam 8 pagi,” katanya.
Katanya, beliau tidak menghadapi masalah kerana lokasi perniagaan di pasar malam dan pekan sehari di kawasan Felda kerana sudah disediakan tapak berniaga malah kebanyakan pelanggan sudahpun mengenali beliau.
“Kebiasaannya antara 400 hingga 500 keping apam balik dapat dijual di pasar malam dan pekan sehari dalam tempoh tujuh jam, manakala pada majlis keramaian dan tempahan kenduri kahwin saya mampu menyediakan antara 1,000 keping atau lebih bergantung kepada tempahan.
“Adunan tepung dan campuran telur, gula, kacang, majerin dan lain-lain seberat satu kilogram biasanya boleh dibuat sebanyak 60 keping apam balik dan harga jualan sekeping makanan ini sebanyak 50 sen,” katanya.
Katanya, kemahiran menyediakan juadah itu diperoleh sejak menjadi pembantu kepada seorang penjual makanan itu di Pulau Pinang membolehkannya mempelajari cara membuat apam balik ketika dia berusia 22 tahun.
“Saya juga menerima tempahan untuk majlis kenduri kahwin apabila kenalan rapat dalam kalangan peneroka di negeri Johor, Negeri Sembilan dan Perak mengundang kami membuat apam balik di tempat mereka,” katanya.
Jelasnya, untuk pesanan bagi sebarang majlis keraian dan kenduri kendara dia boleh dihubungi di talian 013 9829287.-SAHIH.