AH LONG MAUT DITETAK DEPAN DUA ANAK
AH LONG MAUT DITETAK DEPAN DUA ANAK
SHAH ALAM – Seorang lelaki dipercayai ah long mati ditetak dengan parang oleh dua penjenayah selepas menikmati makanan di sebuah kopitiam di Lorong Batu Nilam 27A, Bandar Bukit Tinggi, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun sempat melarikan diri di celahan kenderaan sebelum rebah dan maut di hadapan sebuah restoran lain.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia 10 dan 18 tahun telah pergi ke sebuah kopitiam untuk menikmati makanan kira-kira pukul 11.50 pagi.
Katanya, sebaik selesai makan setengah jam kemudian tiga beranak itu berjalan kaki menuju ke sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire miliknya yang diletakkan kira-kira 30 meter dari kopitiam itu.
“Semasa mangsa hendak membuka pintu kereta telah didatangi tiga lelaki dari arah belakang dengan masing-masing bersenjatakan parang.
“Dua daripada suspek kemudiannya terus menetak mangsa dan dia dikatakan sempat melarikan diri ke arah celah kereta di kawasan tersebut dan meninggal dunia di hadapan sebuah restoran bersebelahan kopitiam berkenaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, empat suspek termasuk seorang daripadanya menunggu di dalam kenderaan seterusnya melarikan diri.
“Hasil semakan mendapati mangsa bekerja sebagai ah long dan mempunyai pejabat di kawasan Bukit Tinggi Klang, Shah Alam dan Kajang dan mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan ugutan, penipuan dan mendatangkan kecederaan,” ujarnya. – K!ONLINE
Gambar: Media Sosial