DUA PASANG SUAMI ISTERI TERLIBAT DALAM OPS SARANG KHAS
DUA PASANG SUAMI ISTERI TERLIBAT DALAM OPS SARANG KHAS
JERANTUT: Seramai 47 orang lelaki Melayu diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini sempena Ops Sarang Khas yang diadakan di daerah ini bermula 30 Oktober dan berakhir hari ini.
Dalam operasi tersebut dua pasang suami isteri dan seorang remaja berusia 19 tahun turut diberkas bersama suspek lain yang berusia antara 19 hingga 52 tahun di beberapa buah lokasi sarang dadah di ladang sawit kawasan Felda dan kampung tradisional dalam tempoh pemantuan.
Ketua Polis Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, operasi selama tiga hari itu bertujuan untuk menggempur dan memusnahkan sarang pengedar dan penagih dadah di daerah ini khususnya di kawasan Felda dan kampung tradisional.
“Operasi besar-besaran yang dilaksanakan serentak dengan lima daerah lain di negeri ini antara jihad untuk memerangi aktiviti pengedaran dan penagihan dadah yang membabitkan penduduk di kawasan berkenaan malahan trend ini sudah menular dalam kalangan remaja.
“Polis telah melakukan pemantauan dan serbuan ke sarang dadah berkenaan dan paling membimbangkan sudah ada remaja belasan tahun terlibat dengan bahan terlarang ini,” katanya dalam kenyataan di IPD Jerantut di sini hari ini.
Katanya, seramai empat orang suspek dadah yang diberkas terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah berbahaya jenis heroin dan syabu yang akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) sekiranya disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung mandatori.
“Dua orang yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis heroin dan syabu, manakala dua orang suspek lagi disiasat di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu,” katanya.
Katanya, seramai 20 orang yang ditahan pernah melakukan kesalahan bahan terlarang ini, iaitu dikategorikan sebagai penagih berulang.
Semasa operasi itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 38.12 gram, heroin (57.66 gram), pil Yaba (5.14 gram), cecair kodein (0.18 gram), air ketum (5 liter) dengan anggaran keseluruhan bernilai RM9,000 dan membuat sitaan ke atas harta milik pengedar dadah berkenaan, iaitu sebuah kereta dan empat buah motosikal.
“Polis telah berjaya memberkas 498 orang pengedar dan penagih dadah dengan melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM133,900 serta sitaan harta bernilai RM142,426 dalam tempoh yang sama.
“BSJN IPD Jerantut akan terus berjihad membuat pemantauan dan serbuan ke atas sarang dadah di daerah ini berdasarkan risikan dan maklumat diperoleh secara langsung dapat membanteras aktiviti tersebut untuk jaminan keharmonian masyarakat setempat,” katanya.
Katanya, orang ramai diminta memberikan kerjasama menyalurkan maklumat aktiviti jenayah dadah ini dengan menghubungi terus ke BSJN di sini menerusi talian 09 2662222 sambungan 262 serta talian hotline 012 9828485.-SAHIH.