Melaka banjir semula, 159 mangsa dipindahkan ke PPS
Melaka banjir semula, 159 mangsa dipindahkan ke PPS
MELAKA – Seramai 159 penduduk di negeri ini terpaksa dipindahkan semula ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas beberapa kawasan di daerah Alor Gajah dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam, petang semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, sebanyak tiga buah PPS telah dibuka untuk menempatkan kesemua mangsa terlibat.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal telah dibuka pada pukul 8 malam tadi dan menempatkan seramai 24 mangsa daripada 10 buah keluarga.
“PPS kedua iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah turut dibuka kira-kira sejam kemudian dan seramai 81 mangsa daripada 19 buah keluarga berada di situ,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.
Tambahnya, sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal yang menempatkan 54 mangsa daripada 11 buah keluarga,lapor kosmo online
Ujarnya, antara kawasan yang terjejas adalah di Bukit Balai, Taman Murai Jaya dan Kampung Padang Keladi.