EKZOS KENDERAAN BISING DISITA DI BENTONG
EKZOS KENDERAAN BISING DISITA DI BENTONG
BENTONG : Empat buah motosikal disita atas kesalahan mengubahsuai ekzos sempena Op Khas Ekzos Bising oleh Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Bentong, di sini, semalam.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, operasi tersebut dilakukan di sekitar bandar itu malam semalam diketuai oleh Inspektor Muhamad Ridwan Kassim telah membuat pemeriksaan sebanyak 39 buah motosikal.
“Sebanyak 21 saman telah dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu, nombor plat tidak mengikut peraturan, lesen memandu tamat tempoh, tiada cermin sisi dan ubah suai kenderaan.
“Selain itu dalam pemeriksaan ini, menyita empat buah motosikal disita atas kesalahan mengubahsuai ekzos di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Kuasa-Kuasa Menyita Kenderaan Bermotor sehingga diperlukan bagi tujuan mengelak kesalahan tersebut berterusan (Kesalahan pengubahsuaian ekzos),” katanya melalui Facebook PDRM Bentong.
Katanya, motosikal yang disita itu akan diserah semula kepada pemilik selepas tindakan menggantikan ekzos dilakukan.
“Individu yang didapati bersalah membuat pengubahsuaian ekzos sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan di bawah Kaedah 103, iaitu Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959).
“Mohon semua pemilik kenderaan yang telah mengubahsuai ekzos agar memasang semula ekzos asal kerana peralatan yang diubahsuai boleh mengeluarkan bunyi bising sekali gus mengganggu ketenteraman orang awam dan persekitaran,” katanya.
Zaiham berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di sini akan meneruskan Op Khas Ekzos dari masa ke semasa bagi mengesan kenderaan yang telah mengubahsuai ekzos termasuk kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH.