NADI, PKD perlu digembleng beri manfaat lebih luas
NADI, PKD perlu digembleng beri manfaat lebih luas
KUALA LUMPUR: Kerjasama lebih rapat antara Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Pusat Komuniti Desa (PKD) diyakini mampu memperluas manfaat kemudahan serta perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu mencerminkan semangat Whole-of-Government yang menekankan kerjasama antara agensi bagi memastikan sumber sedia ada dapat dimanfaatkan secara optimum.
Menurutnya, terdapat 191 PKD di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dilengkapi kemudahan, sumber serta jaringan bersama masyarakat.
“Terdapat 191 PKD di bawah KKDW, yang dilengkapi dengan kemudahan, sumber dan jaringan bersama masyarakat.
“Dan saya percaya dengan kekuatan yang dimiliki oleh NADI dan PKD, terdapat ruang yang amat besar untuk kedua-duanya saling melengkapi dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Bengkel Kerjasama Strategik PKD dan NADI, Isnin.
Fahmi berkata, perkara utama bukan soal pihak yang memiliki sesuatu kemudahan, sebaliknya sejauh mana kemudahan dan sumber kerajaan yang tersedia dapat digunakan sepenuhnya oleh rakyat.
Katanya, kerjasama antara kedua-dua platform itu juga berpotensi memperluas capaian program kerajaan, khususnya kepada komuniti luar bandar dan kawasan yang memerlukan sokongan digital lebih menyeluruh.
Pada masa sama, pendekatan itu selari dengan usaha kerajaan memperkasakan konsep masyarakat tanpa tunai melalui penggunaan teknologi digital.
Menurutnya, usaha berkenaan tidak seharusnya terhenti kepada penggunaan dompet digital semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan kepada penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
Langkah itu penting bagi memastikan masyarakat bukan sahaja memiliki akses kepada kemudahan digital, malah berupaya memanfaatkannya untuk meningkatkan pengetahuan, produktiviti dan kualiti hidup.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Fahmi Fadzil, NADI, PKD, KKDW, Whole-of-Government, masyarakat tanpa tunai, dompet digital, kecerdasan buatan, AI, komuniti desa
