MCMC diarah tangani penyalahgunaan platform jual dadah
MCMC diarah tangani penyalahgunaan platform jual dadah
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan mengambil tindakan susulan terhadap penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang dipercayai digunakan bagi kegiatan penjualan dadah termasuk Fentanyl atau dikenali sebagai ‘Piu Piu’.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau turut menerima mesej daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung gejala berkenaan yang dilihat semakin membimbangkan.
Menurutnya, MCMC juga akan mengadakan pertemuan dengan salah satu platform yang dikenal pasti terbabit dalam penyalahgunaan rangkaian sehingga membolehkan bahan terlarang itu dijual di Malaysia.
“Saya telah mengarahkan pihak MCMC. Selepas pada ini MCMC ada satu pertemuan dengan salah satu daripada platform yang kita lihat terbabit dalam penyalahgunaan rangkaian yang membolehkan dadah seperti Fentanyl ataupun apa disebut sebagai Piu Piu dijual di Malaysia,” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam ucapannya pada Bengkel Strategik.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha kerajaan menyediakan akses Internet berkualiti serta melengkapkan kemudahan Pusat Komuniti Desa dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bertujuan merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar, pinggir bandar dan bandar.
Bagaimanapun, katanya, kemudahan rangkaian komunikasi perlu disertai tahap keselamatan yang baik serta kesedaran pengguna terhadap risiko dalam talian.
Menurutnya, kelemahan aspek keselamatan rangkaian selain kurangnya pengetahuan pengguna mengenai keselamatan diri boleh membuka ruang kepada pelbagai bentuk penyalahgunaan.
Ia termasuk kegiatan penjualan dadah menerusi platform dalam talian selain penipuan yang boleh menyebabkan pengguna menjadi mangsa.
Justeru, beliau menegaskan pembangunan infrastruktur digital perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh keselamatan rangkaian dan meningkatkan tahap celik digital masyarakat.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Fahmi Fadzil, MCMC, Anwar Ibrahim, Fentanyl, Piu Piu, dadah, platform digital, keselamatan rangkaian, NADI, penipuan dalam talian
