Malaysia mesti cipta, kuasai teknologi sendiri
Malaysia mesti cipta, kuasai teknologi sendiri
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada negara yang mampu mencipta, memiliki dan menguasai teknologi sendiri bagi memastikan daya saing negara terus diperkukuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu perlu disokong ekosistem yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda berkembang menerusi universiti, penyelidikan, industri dan syarikat pemula.
Menurutnya, Malaysia kini berada pada titik penting dalam perjalanan pembangunan negara dan tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada teknologi yang dibangunkan pihak lain.
“Kita tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi yang dicipta oleh orang lain. Kita mesti menjadi negara yang mencipta, memiliki dan menguasai teknologi,” katanya.
Teks ucapan beliau pada Peringkat Akhir Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 Piala Pusingan Perdana Menteri itu dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Anwar berkata, usaha memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga memerlukan kerjasama menyeluruh kerajaan, sekolah, universiti, industri serta komuniti.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan bakat muda bukan sahaja dapat dikenal pasti, malah terus dibimbing serta diberi ruang untuk berkembang.
Berdasarkan data Kementerian Pendidikan, enrolmen murid dalam bidang STEM meningkat daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 50.83 peratus pada 2024.
Bagaimanapun, penyertaan dalam bidang sains tulen masih sekitar 15.8 peratus, sekali gus menunjukkan wujud jurang antara minat terhadap STEM dengan kesediaan murid untuk mendalaminya.
Sehubungan itu, Anwar mahu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Akademi Sains Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan rakan strategik bagi menjadikan NSC sebagai laluan pembangunan bakat secara berterusan, bukan sekadar acara tahunan.
Katanya, peserta berpotensi khususnya dari luar bandar, Sabah dan Sarawak serta keluarga berpendapatan rendah perlu terus dihubungkan dengan mentor, makmal, biasiswa dan rangkaian inovasi.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, STEM, Cabaran Sains Kebangsaan 2026, NSC 2026, teknologi, inovasi, Chang Lih Kang, MOSTI, Akademi Sains Malaysia
