Double hat-trick Tunku Mahkota Ismail pacu Royal Johor julang JSCPT 2026
Double hat-trick Tunku Mahkota Ismail pacu Royal Johor julang JSCPT 2026
JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mencuri tumpuan apabila meledak enam gol untuk membantu Royal Johor menewaskan Temasek 10-7 sekali gus menjuarai Johor Super Crown Tournament (JSCPT) 2026 di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi, di sini, petang tadi.
Aksi cemerlang baginda menerusi double hat-trick turut membolehkan Tunku Mahkota Ismail dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan polo berstatus 22 gol itu.
Royal Johor memulakan perlawanan dengan agresif apabila Pablo ‘Polito’ Pieres membuka jaringan sebelum pasukan tuan rumah menggandakan kelebihan untuk menguasai permainan.
Memasuki Chukka 2, Tunku Mahkota Ismail terus melebarkan kedudukan menerusi satu lagi jaringan, namun Temasek cuba bangkit menerusi Ignatius ‘Nachí’ Du Plessis yang menyempurnakan penalti 40 ela.
Royal Johor bagaimanapun terus mendominasi perlawanan dengan baginda melengkapkan double hat-trick, manakala Polito Pieres turut menyumbang hat-trick untuk meletakkan pasukan itu dalam kedudukan selesa.
Temasek enggan menyerah mudah dan terus memberi tekanan menerusi jaringan Nachí Du Plessis, Colonel Ravi Rathore serta Alfonso ‘Alfon’ Pieres, namun terpaksa akur dengan kekalahan 7-10.
Kemenangan itu menyaksikan Royal Johor mencipta sejarah apabila muncul juara sulung JSCPT 2026.
Lebih membanggakan, kuda tunggangan Tunku Mahkota Ismail, Poliya Cara Palida turut menerima Anugerah Kuda Terbaik Kejohanan.
Penyampaian pingat dan trofi disempurnakan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, diiringi isteri Menteri Besar Johor, Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor.
JSCPT 2026 yang berstatus 22 gol merupakan pertandingan polo dengan handikap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia setakat ini.
Penganjurannya turut memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi sukan polo antarabangsa dengan penyertaan pemain berprofil tinggi yang pernah beraksi dalam kejohanan terkemuka dunia termasuk Argentine Open.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, Royal Johor, Temasek, Johor Super Crown Tournament, JSCPT 2026, polo, double hat-trick, MVP, Istana Pasir Pelangi
