WAD HOSHAS DITUTUP SEMENTARA AKIBAT PENULARAN COVID-19
WAD HOSHAS DITUTUP SEMENTARA AKIBAT PENULARAN COVID-19
KUANTAN: Bagi mengelak risiko jangkitan terhadap semua pesakit baharu dan pelawat, semua wad di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh dekat sini ditutup sementara, susulan penularan jangkitan Covid-19.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, penutupan dikuatkuasakan untuk semua kemasukan baharu kecuali bagi kes-kes kritikal.
Katanya, langkah berkenaan diambil atas faktor keselamatan namun dua wad multidisiplin (merangkumi pelbagai unit) telah dibuka.
“Ketika ini perkhidmatan kecemasan, perbidanan dan sakit puan (obstetrik) serta pediatrik di hospital ini masih beroperasi.
“Untuk sementara waktu, semua pesakit yang tidak kritikal namun perlu dimasukkan ke hospital akan dihantar ke hospital-hospital lain yang mempunyai tenaga pakar di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dr. Bahari, setakat hari ini sebanyak 37 kes Covid-19 dikesan di hospital tersebut.
Katanya, penularan jangkitan wabak berlaku di wad biasa dan bukannya di wad yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19.
“Sehubungan itu penilaian risiko telah dibuat ke atas semua yang terlibat dan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 turut disaring dan diasingkan.
“Aktiviti kawalan sedang dilaksanakan bagi menghentikan penularan jangkitan itu,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata orang ramai tidak perlu khuatir kerana keadaan di Hoshas adalah terkawal, lapor Utusan Online.
“Kita akan pastikan perkhidmatan yang ditutup sementara dapat dibuka semula secara berperingkat dan boleh beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat,” katanya.