SIDANG DUN PAHANG BERGANTUNG PERKENAN PEMANGKU RAJA
SIDANG DUN PAHANG BERGANTUNG PERKENAN PEMANGKU RAJA
KUANTAN: Kerajaan negeri sedia untuk mengadakan sidang dewan undangan negeri (DUN) mengikut jadual asal, jika mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendirian itu adalah sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kenyataan Majlis Raja-Raja mengenai pembukaan sidang Parlimen, Rabu lalu.
“Mengenai (pembukaan) sidang DUN Pahang, ia tertakluk kepada perkenan Pemangku Raja Pahang, khususnya dalam menetapkan tarikh-tarikh persidangan itu.
“Sungguh pun perkara ini penting (kerana) berkait dengan aspek memelihara ‘Raja Berpelembagaan, Demokrasi Berparlimen’, kita tidak boleh menyimpang daripada keutamaan (menangani) ancaman penularan wabak COVID-19 di dalam negeri dan seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sidang DUN Pahang dijadualkan bermula 16 Ogos ini dan semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) sudah diminta mengemukakan soalan mereka kepada pejabat Speaker Dewan sebelum hujung bulan ini.
Datuk seri Wan Rosdy Wan Ismail - Menteri Besar Pahang.
Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Negeri Sembilan sudah menyatakan kesediaan mereka untuk memulakan sidang DUN masing-masing.
Keputusan itu dibuat susulan kenyataan dikeluarkan Istana Negara selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang mencadangkan agar sidang Parlimen dibuka secepat mungkin untuk memberi peluang kepada proses semak dan imbang dilakukan dengan lebih berkesan.-SAHIH