USAHA SUKA-SUKA TANAM CILI BOLEH TAMBAH PENDAPATAN
USAHA SUKA-SUKA TANAM CILI BOLEH TAMBAH PENDAPATAN
JERANTUT : Dua orang rakan yang tinggal berjiran menjadikan kawasan tanah kosong berdekatan rumah mereka dengan mengusahakan tanaman cili menerusi kaedah fertigasi di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.
Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi ruang untuk mereka mengerjakan tanaman cili bagi mengurangkan rasa bosan kerana tidak boleh pergi ke mana-mana dan dapat menghiburkan hati sambil beriadah.
Kedua-dua rakan itu, Mohd Simin Abdullah, 55, dan Mohd Fatmahisyam Abdul Rahman, 39, mempunyai cara tersendiri dengan menjadikan kebun mereka tempat berhibur dan mengeluarkan peluh sambil berbakti kepada tanah.
Mohd Simin seorang kakitangan kebersihan sekolah itu berkata, kawasan tanah terbiar seluas hampir 300 meter persegi berdekatan rumah kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua dimanfaatkan untuk tanaman cili yang mula usahakan sejak bulan Disember tahun lalu.
“Saya dan rakan yang juga seorang guru yang tinggal berjiran lalu berpakat untuk mengusahakan tanaman itu memandangkan tekanan perbelanjaan keluarga dan tanggungan persekolahan anak-anak dalam keadaan masih berlaku penularan wabak Covid-19.
“Kami berkongsi modal permulaan sebanyak RM1,500 untuk perbelanjaan memberi benih, polibeg, baja, racun kawalan serangga, tanah hitam dan peralatan pertanian bagi tujuan berkenaan.
“Tanpa sebarang kemahiran mengenai pengurusan tanaman cili ini dengan hanya melihat daripada usaha serta mempelajari menerusi pengalaman rakan petani di tempat lain, kami bertekad untuk mencuba melakukan tanaman ini,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini hari ini.
Katanya, setelah hampir sebulan, sebanyak 200 batang pokok cili mula membesar dan hidup subur menambahkan semangat mereka berusaha menjaga tanaman itu seperti kawalan air dan nutrien secukupnya serta ancaman daripada serangga pada setiap hari.
“Tanpa berdepan cabaran menguruskan penjagaan, pokok cili mula berbuah dan matang selepas kira-kira 70 hari ditanam dalam polibeg.
“Hasil pertama cili seberat kira-kira 90 kilogram mula dipasarkan dengan harga RM8 sekilogram sekitar kawasan Felda ini. Kami berasa puas dan yakin setelah nampak ada kejayaan atas usaha ini,” katanya
Katanya, sebelum hari raya, mereka mengutip serta memasarkan cili seberat kira-kira 300 kilogram kepada pemborong di bandar Jerantut dan sekitar Felda berdekatan dan menjadi pendapatan tambahan untuk persiapan hari raya keluarga.
“Selain itu wang yang diperoleh turut dijadikan modal untuk mengusahakan terdapat kawasan terbiar berdekatan rumah untuk tanaman baharu tanaman cili, terung dan timun yang juga mendapat permintaan pelanggan,” katanya.-SAHIH.