TWEET NOOR HISHAM UNTUK PERINGATAN
Berita Nasional
TWEET NOOR HISHAM UNTUK PERINGATAN
PUTRAJAYA: Ciapan dimuat naik melalui akaun Twitter Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, awal pagi tadi, adalah peringatan untuk semua rakyat Malaysia supaya duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.
Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa beliau membuat hantaran sedemikian sejak awal penularan COVID-19 di negara ini.
“Ia bukan perkara baharu ketika saya tweet… Sekali lagi, saya menasihati rakyat Malaysia yang tidak ada urusan, bahawa adalah penting untuk duduk di rumah.
“Jika kita mahu keluar rumah kerana ada urusan penting, patuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Itu tujuan utama saya tweet… hanya mengingatkan rakyat Malaysia supaya duduk di rumah kalau tiada urusan penting,” katanya pada sidang media COVID-19, di sini, petang tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada ciapan itu merujuk bayangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkemungkinan dilaksanakan semula.
Terdahulu, Dr Noor Hisham memuat naik ciapan berbunyi how about all stay at home for a while again (apa kata semua duduk di rumah untuk sementara waktu sekali lagi), menyebabkan ramai pengguna media sosial menganggap beliau membayangkan PKP bakal dilaksanakan semula.
Beliau memuat naik ciapan itu sebagai membalas satu ciapan oleh pengguna media sosial yang meminta agar perjalanan antara negeri dihentikan kerana dirinya tidak percaya bahawa penduduk menjalani kuarantin kendiri.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, mereka yang ada urusan penting di luar perlu mematuhi SOP, selain mengamalkan 3W, iaitu mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka serta mematuhi amaran Kementerian Kesihatan, selain mengelakkan kawasan sesak dan sempit atau bersembang secara dekat.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak termasuk pengurusan sekolah, perlu menguruskan risiko jangkitan di institusi pendidikan berkenaan.
Ketika ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa di Selangor untuk anak mereka ke sekolah berikutan kadar kebolehjangkitan yang tinggi ketika ini, Dr Noor Hisham berkata, perkara itu memang ada dibincangkan Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Pendidikan.
“Memang risiko tetap ada. Kalau tidak mahu risiko, kita semua duduk di rumah. Namun kalau keluar rumah, kita perlu menguruskan risiko itu.
“Setakat ini di sekolah, kalau tiada jangkitan, kita akan biarkan. Contohnya di Kedah, ada sekolah yang berlaku jangkitan antara guru dan murid. Kita tutup sekolah dan menjalankan proses nyahcemar serta nyahkuman di kawasan sekolah terbabit.
“Bagaimanapun setakat ini, tiada laporan ada kluster di sekolah,” katanya.
Sumber: BH Online