UMNO PENJULANG MARUAH BANGSA DAN AGAMA
UMNO PENJULANG MARUAH BANGSA DAN AGAMA
KUALA LIPIS: Menyaksikan tradisi bendera Sang Saka Bangsa dinaikkan di hadapan para pejuang bangsa serta dapat menghayati bait lagu UMNO berkumandang di setiap dewan di Pusat Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) adalah detik yang kita semua rindukan.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia juga menandakan bermulasecara rasmi semua pimpinan parti dan perwakilan berkumpul dan bersidang mencari kata sepakat berhimpun di rumah UMNO.
“Kita merancang, namun Allah jualah sebaik-baik perancang, perhimpunan kali ini cukup berbeza dengan perhimpunan yang lalu, ternyata suasana ini dan semua perisitiwa yang kita lalui telah memberi banyak hikmah.
“Semua perkara daripada sebesar-besar memilih pemimpin dan membentuk kerajaan kepadalah sekecil-kecil urusan tidak lagi seperti dahulu, tugas yang dipikul di bahu kita semua seperti satu amanah yang dimandatkan dengan sangat besar, terutama dalam agenda penyatuan orang Melayu,” katanya melalui Facebooknya.
Katanya, Persidangan Agung Umno (PAU) 2020 kali ini perlu dijadikan sebagai medium untuk mencari kata sepakat dan semarakkan lagi obor perjuangan yang telah dinyalakan.
Perhimpunan ini sewajibnya terus menjulang kepentingan dan kedudukan bangsa serta kerturunan Melayu di tanah tumpah darah kita sendiri.
“Dalam usaha kita menguatkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO, marilah kita sama-sama bermuhasabah tatkala dihadapkan dengan pelbagai dugaan seperti yang tertulis dalam surah Al-An’am, ingatlah bahawa cabaran yang diterima seseorang itu mudah-mudahan Allah memberi keampunan dan mengangkat martabat mereka.
“Untuk terus releven, UMNO perlu menginsafi kelemahan dan bergerak dengan lebih sederap ke hadapan bagi meyakinkan rakyat jelata bahawa UMNO adalah parti terbesar dan telah menjadi teras pemerintahan negara, serta telah berperanan dalam membuat dasar-dasar,” katanya.
Katanya, sesungguhnya, tiada parti lain yang mampu menjulang maruah agama dan bangsa kita melainkan parti keramat ini.
“Tidak kira sama ada UMNO mahu bergerak sendiri atau melalui kerjasama yang sejati, yang lebih penting adalah bagaimana kita harus dilihat sebagai jaguh rakyat dan bapa kepada penyatuan Melayu,” katanya.