KEDAH RANCANG BINA TAKUNGAN SUNGAI MUDA
KEDAH RANCANG BINA TAKUNGAN SUNGAI MUDA
GEORGE TOWN: Pengendali perkhidmatan air negara hari ini menyambut baik rancangan Kedah membina takungan simpanan air di sepanjang Sungai Muda bagi menakung lebihan air hujan untuk digunakan pada musim kemarau.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata asasnya Kedah merancang “takungan hiliran”, berfungsi menakung sejumlah besar air ketika musim tengkujuh.
Beliau mengakui berkemungkinan projek seperti itu akan memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang tetapi projek tersebut memerlukan persetujuan kementerian alam sekitar dan air.
Katanya ia bukan di bawah bidang kuasa SPAN.
“Kami diberitahu 90% air sungai mengalir ke laut sepanjang musim hujan. Biasanya, kita menggunakan hanya 5% hingga 10% (air) dari aliran sungai.
“Jadi, menyimpan air yang mencukupi adalah langkah yang baik untuk bertahan selama satu hingga tiga bulan sebagai simpanan ketika kecemasan. Air ini lambat laun akan mengalir dan hilang ke laut juga,” katanya.
Katanya, sistem itu bukan sahaja berfungsi sebagai penyimpanan air, tetapi juga dapat mengawal banjir, lapor FMT.
Faizal berkata pengurusan sumber air masih berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan apa yang diumumkan mungkin telah dikaji oleh pihak berwajib.
“Kajian yang betul akan dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) atau kementerian yang berkaitan sebelum sesuatu projek dipersetujui,” katanya.
Faizal berkata apa yang dilakukan Kedah sama dengan “Horas” atau ‘Hybrid off River Augmentation System’ yang sedang dilaksanakan di Selangor.
Sistem Horas adalah kaedah penakungan air hujan dan air bawah tanah yang dialir terus ke Lembangan Sungai Selangor, menurut portal kerajaan Selangor.
Kedah merancang membina projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), dengan 14 takungan besar berkedalaman 20m hingga 30m dengan lebar sehingga 1km di sepanjang Sungai Muda.
Selain itu, baraj baharu akan dibina untuk memastikan pam Syarikat Air Darul Aman (SADA), tidak tergantung pada musim kemarau akibat kekurangan air dan dapat menakung air yang secukupnya untuk mengairi penanaman padi serta dibekalkan kepada penduduk.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, ketika mengumumkan projek tersebut, memberitahu Pulau Pinang untuk bersedia mengabstrak hanya lumpur dan selut jika enggan membayar caj air mentah kepada Kedah.
Pulau Pinang menegaskan bahawa ia secara sah mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa membayar kepada Kedah dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk menghentikan projek TAPS.