TULAR REMAJA CUBA TERJUN JAMBATAN
TULAR REMAJA CUBA TERJUN JAMBATAN
KUANTAN : Remaja yang mempunyai tekanan perasaan perlu dirujuk pakar agar mereka tidak melakukan perkara yang boleh membahayakan nyawa seperti cuba membunuh diri.
Semalam telah tular video seorang remaja berusia 16 tahun yang cuba terjun daripada sebuah jambatan di Kilometer 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bukit Tinggi, Pahang, semalam akibat kemurungan yang dihadapi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bagaimanapun, remaja tersebut berjaya diselamatkan Ketua Polis Balai Bukit Tinggi, Sarjan Mejar Maznan Omar dengan menarik remaja perempuan itu ke belakang dengan dibantu anggota polis yang lain.
Remaja perempuan berusia 16 tahun cuba terjun daripada sebuah jambatan dan perkara tersebut telah tular di media sosial namun dia akhirnya berjaya diselamatkan.
Beliau berkata, remaja tersebut turut ditenangkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman yang dalam perjalanan di Karak.
Katanya, tindakan ketua balai polis itu merupakan satu peristiwa yang membanggakan kontinjen Pahang.
“Ingin kita nasihatkan di luar sana remaja yang mempunyai tekanan perasaan, sila rujuk kepada pakar tertentu dan mereka yang menenangkan pemikiran mereka agar dapat diselamatkan daripada kemurungan.
Datuk Seri Abd Jalil Hassan
“Tindakan Ketua Polis Balai Bukit Tinggi ,Yang Berhormat Datuk Seri Norol dan anggota polis lain merupakan satu peristiwa yang membanggakan kerana mereka telah berjaya menyelamatkan satu nyawa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan 40 buah Kenderaan Pasukan Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan remaja tersebut telah dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
Dalam perkembangan lain katanya, seramai 1,410 orang telah ditangkap kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengekang wabak covid-19, dalam tempoh setahun ia dilaksanakan.