NGO DIPERCAYAI PUNCA COVID-19 DI PULAU TIOMAN
NGO DIPERCAYAI PUNCA COVID-19 DI PULAU TIOMAN
KUANTAN: Polis Pahang sedang mengesan sekumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Mersing, Johor yang disyaki punca penularan wabak Covid-19 di Pulau Tioman sehingga pulau peranginan itu diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Daerah (PKPD), bermula semalam sehingga 29 Mac ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, selepas disiasat polis tidak menolak kemungkinan punca penularan wabak covid-19 di pulau peranginan itu berpunca daripada mereka.
Setakat ini tujuh orang telah dikenalpasti merentas negeri dan pihak berkuasa sedang mengesan mereka untuk dikenakan kompaun 10 ribu ringgit bagi kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga kesalahan berkaitan.
“Kesemua mereka ketika ini sudah tidak berada di Pulau Tioman dan polis sedang menjejaki mereka dan kita ada cara kita sendiri untuk mengesan mereka.
“Siasat dan melihat mereka inilah kemungkinan menularnya wabak ini di Tioman sehingga terpaksa diisytiharkan PKPD di Tioman menyebabkan semua aktiviti-aktiviti masyarakat setempat diberhentikan sementara waktu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan 40 buah Kenderaan Pasukan Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
Datuk Seri Abdul Jalil memegang bendera PDRM sebagai tanda menyerahkan kenderaan yang diterima daripada kerajaan kepada Kontinjen Pahang
Difahamkan, seorang daripada mereka dipercayai positif Covid-19 dan telah merentas negeri.
Setibanya di Pulau Tioman mereka tinggal di sebuah chalet di Air Batang beramai-ramai tanpa mengamalkan penjarakan sosial menyebabkan berlakunya jangkitan.
Sementara itu katanya, pelancong tempatan yang terkandas di Pulau Tioman akan diuruskan Pejabat Daerah dan kerajaan negeri untuk dibawa keluar daripada pusat pelancongan itu.
“Mereka yang bergejala akan di bawa ke pusat kuarantin terlebih dahulu untuk diasingkan daripada masyarakat lain,” katanya.
Mengenai majli spenyerahan kenderaan itu, beliau berharap, kemudahan dan aset yang diberikan kerajaan dijaga dengan berhemah dan tidak disalahguna untuk urusan peribadi.