RM 3.8 JUTA UNTUK SET PAKAIAN MURID ORANG ASLI
RM 3.8 JUTA UNTUK SET PAKAIAN MURID ORANG ASLI
KUALA LIPIS : Sebanyak 7,494 set bantuan persekolahan disampaikan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kepada murid masyarakat Orang Asli di seluruh negara bagi menggelakkan berlaku keciciran dalam pendidikan.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui JAKOA memperuntukkan sejumlah RM 3.8 juta untuk bantuan set pakaian seragam sekolah kepada murid Orang Asli untuk sesi persekolahan tahun 2021 – 2023.
Timbalan Menteri I, KPLP, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, bantuan itu adalah salah satu inisiatif KPLB untuk mengurangkan peratusan keciciran murid Orang Asli dan menggalakkan mereka untuk pergi ke sekolah.
“Selain pakaian seragam, KPLB turut menyediakan pengangkutan ke sekolah, bantuan wang saku dan pelbagai bantuan lain untuk memastikan mereka (murid Orang Asli) mendapat pendidikan sempurna.
“Kerajaan tidak mahu masyarakat ini ketinggalan dalam pendidikan dan mahu melahirkan generasi yang bakal menjadi pemimpin dan menyumbang bakti kepada masyarakat mereka dan negara,” katanya di Majlis Penyerahan Set Bantuan Persekolahan di sini, hari ini.
Katanya, kementerian turut berhasrat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat itu seperti kemudahan dan capaian liputan internet untuk memudahkan murid dan penduduk di kawasan perkampungan Orang Asli agar mendapat capaian dan boleh belajar dan bekerja dari rumah.
“Selain itu, cuba meningkatkan kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, membina panel tenaga solar dan bekalan elektrik agar masyarakat ini tidak rasa terpinggir dan menikmati kemudahan seperti masyarakat lain serta cuba mendapatkan tambahan bagi membina rumah untuk golongan ini.
“Oleh itu, tahap pendidikan masyarakat ini perlu dipertingkatkan untuk menjana mobilti sosial masyarakat ke arah lebih baik,” katanya.
Katanya, di Pahang seramai 2,629 murid sekolah menengah dan rendah menerima set bantuan tersebut, manakala Perak (2,196) serta Kelantan dan Terengganu (672).
Sementara itu guru pengiring Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kechau 1, Nurul Fazillah Md Yusoff berkata, dia bagi pihak muridnya berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan persekolahan yang disumbangkan kepada murid Orang asli sekolahnya.
“Sumbangan seperti ini memberi suntikan semangat kepada mereka untuk lebih berdaya saing di dalam pendidikan, semua murid Orang Asli sekolah saya hadir sejak sekolah dibuka semula dan kehadiran harian mereka sangat memberangsangkan,” katanya.