MB PAHANG ANTARA 100, KUMPULAN PERTAMA DISUNTIK VAKSIN JUMAAT INI
MB PAHANG ANTARA 100, KUMPULAN PERTAMA DISUNTIK VAKSIN JUMAAT INI
KUANTAN: Pahang menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech hari ini, sebanyak 23,500 dos untuk diberikan kepada 11,700 petugas barisan hadapan daripada pelbagai jabatan dan agensi di negeri ini.
Pahang merupakan negeri pertama yang akan memberikan suntikan vaksin kepada petugas barisan hadapan, pada Jumaat ini; selepas pemberian vaksin kepada kerajaan Pusat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 100 petugas barisan hadapan termasuk dirinya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merupakan kumpulan pertama yang akan diberi suntikan vaksin, dijangka pada petang Jumaat ini.
“Pada fasa pertama ini, sebanyak 9,360 dos dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan; 4,680 dos di Hospital Kuala Lipis; Hospital Temerloh (4,680 dos); Hospital Rompin (3,510) dan Hospital Bentong (1,170 dos).
“Setiap seorang petugas barisan hadapan akan menerima dua dos dengan jarak masa 21 hari selepas suntikan dos pertama.
“Selepas Perdana Menteri menerima suntikan hari ini, Pahang adalah negeri pertama.
“Jadi saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan khususnya Yang Berhormat Khairi Jamaluddin yang telah mengatur vaksin ni pada hari ini dan dihantar ke Pahang,” katanya kepada pemberita selepas ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech di HTAA di sini.
Beliau berkata keseluruhannya, terdapat enam fasa penghantaran vaksin bagi 32,175 petugas barisan hadapan di Pahang melibatkan 64,350 dos dan vaksin tersebut akan dihantar secara berperingkat.
Bagi program suntikan vaksin Covid-19 untuk fasa kedua pula akan bermula April depan melibatkan lebih 360,000 penerima dalam kalangan golongan berisiko tinggi.
Untuk fasa ketiga pula, lebih 700,000 individu berusia 18 tahun ke atas akan menerima suntikan vaksin itu bermula Mei ini hingga Februari 2022.