PEMANDU LORI DIDAKWA BUNUH ANAK TIRI
PEMANDU LORI DIDAKWA BUNUH ANAK TIRI
TAMPIN: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh anak perempuan tirinya di Gemas pada awal bulan ini.
Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh, Abu Hassan Darus, 30, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tan Chai Wei namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, pada 1 Februari antara jam 3 hingga 5 petang di sebuah rumah di Londah, Gemas tertuduh dengan niat telah melakukan kesalahan membunuh hingga menyebabkan kematian ke atas anak perempuan tirinya yang berusia empat tahun sebulan.
Pertuduhan ke atasnya dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ahmad Sazali Omar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 25 Mac depan untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan helah seorang lelaki membawa anak tirinya ke klinik kerana mengalami kekejangan terbongkar selepas dia ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu sehingga maut dalam kejadian pada 1 Februari lepas.
Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 9 Februari lepas kira-kira jam 10 malam di hadapan balai polis ketika menunggu isteri dan seorang lagi anak tirinya berumur sembilan tahun yang dipanggil memberi keterangan.