WARGA EMAS RENTUNG, BANGSAL TERBAKAR
WARGA EMAS RENTUNG, BANGSAL TERBAKAR
IPOH: Seorang warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah bangsal di satu kawasan berlalang di Ampang berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Muhamad Shahrizal Aris berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran yang mengorbankan lelaki berusia 71 tahun itu, pada 5.47 petang, lapor Harian Metro.
GAMBAR IHSAN JBPM PERAK
“Kami segera mengarahkan 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi kerja memadamkan kebakaran sebaik menerima panggilan.
“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati bangsal itu terbakar 90 peratus manakala mangsa yang rentung ditemukan di bawah timbunan zink yang terbakar,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
GAMBAR IHSAN JBPM PERAK
Beliau berkata, api dapat dikawal dalam masa lima minit dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pasukan forensik masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu.