MALAYSIA –AUSTRALIA KUKUH HUBUNGAN DUA HALA
MALAYSIA –AUSTRALIA KUKUH HUBUNGAN DUA HALA
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima panggilan telefon dari rakan sejawatnya, Menteri Pertahanan Australia, Senator Linda Reynolds, hari ini.
Panggilan tersebut membincangkan mengenai penekanan ke atas kekuatan dan kepentingan hubungan pertahanan dua hala di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia- Australia (Malaysia-Australia Joint Defence Program).
Kedua-dua pihak turut membincangkan komitmen terhadap Peraturan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements, FPDA) termasuk sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan FPDA yang akan dianjurkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2021.
“Kami juga berkongsi mengenai cabaran keselamatan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama serta pengalaman Kementerian masing-masing dalam menangani situasi COVID-19,” katanya.
Ismail Sabri turut memberi setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Australia di atas sumbangan peralatan kepada Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan membantu meningkatkan kapasiti ATM dalam menghadapi cabaran COVID-19.