MAUT SELEPAS LEMAS MANDI BANJIR
MAUT SELEPAS LEMAS MANDI BANJIR
JERANTUT: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut ketika dirawat akibat lemas di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Lipis, petang tadi.
Mangsa, Mohammad Zamarulhisyam Shaari dikejarkan ke Hospital Jerantut selepas mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Kuala Tembeling.
Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mazlan Hassan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.30 petang di Unit Rawatan Rapi Hospital Lipis.
“Mangsa dilaporkan bersama tiga lagi rakan bermain air banjir di Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling, sebelum dihanyutkan air.
“Seorang saksi kejadian, Abdul Rais Abdullah, 25 tahun, cuba membantu mangsa dengan menolaknya ke bahagian tepi kawasan air banjir itu dan meminta mangsa berpaut pada tiang elektrik sementara dia mendapatkan bantuan.
“Sebaik kembali ke lokasi bersama pelampung, saksi kejadian memaklumkan mangsa dalam keadaan lemah.. Abdul Rais sempat melakukan rawatan kecemasan pernafasan mulut ke mulut (CPR) sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Kuala Tembeling untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Mazlan berkata, Mohammad Zamarulhisyam dihantar ke Hospital Jerantut kira-kira jam 6 petang semalam, sebelum dipindahkan ke Hospital Lipis untuk dirujuk oleh doktor pakar hospital terbabit.
Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia petang tadi dan punca kematian belum diketahui sementara menunggu proses bedah siasat dijalankan.