BUKAN PEMERINTAHAN ALA TENTERA
KEHIDUPAN BERJALAN SEPERTI BIASA DI BATU SAPI
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kehidupan rakyat akan berjalan seperti biasa walaupun darurat diisytiharkan di Batu Sapi, Sabah.
Perdana Menteri menegaskan pengisytiharan darurat itu tidak akan menyaksikan sebarang perintah berkurung atau pemerintahan tentera di negeri itu.
“Kegiatan ekonomi, pentadbiran kerajaan, kegiatan sosial boleh diteruskan, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah,” katanya dalam perutusan khas, sebentar tadi dipetik dari Bernama.
Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, menerusi kenyataan dilaporkan berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah.
Perkenan itu dizahirkan selepas Seri Paduka berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung risiko penularan gelombang keempat wabak COVID-19.
Muhyiddin berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera, tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menghormati hak demokrasi setiap pengundi di daerah berkenaan.