TANAMAN MAMPU BERI PULANGAN KEPADA AZIRA
KUANTAN: Menanam pokok atau tumbuh-tumbuhan kini sudah dikira sebagai hobi yang menarik.
Ia bukan hanya boleh mencantikkan kediaman tetapi juga dapat memberi ketenangan kepada minda dan menyamankan persekitaran.
Bermula sekadar hobi dan ingin mencantikkan landskap rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, Nor Azira Hassim (36), tidak menyangka beliau kini telah menanam hampir 100 jenis tanaman yang mampu memberi pendapatan kepadanya.
Rutin Azira melihat tanamannya yang perlu diberi perhatian setiap hari.
Antara 100 jenis pokok yang ditanam adalah pothos, monster, pokok-pokok herba seperti ulam cekur, kunyit, pudina, telang, kari, halia, daun sup, pelbagai jenis keladi hiasan, heliconia, anthurium, philodendron, Bergonia, Hoya, Markisa, pelbagai sansevieria,pokok menjalar, pokok-pokok hiasan gantung dan pokok dalam air.
Azira berkata, episod menanam bunga ini bermula ketika beliau menziarahi rumah ibu-ibu saudaranya, Radiah dan Asiah A.Hamid dan cuba meminta keratan tanaman untuk ditanam di rumahnya di Balok, di sini.
Antara tanaman yang ditanam di rumahnya
Beliau kemudian belajar cara menanam daripada ibu saudaranya, pembacaan daripada majalah berkaitan tanaman, laman sosial Instagram dan juga YouTube.
“Asalnya sebagai hobi menanam sebab suka tengok bila pokok yang kita cuba jaga akhirnya membiak serta membesar dengan subur.
“Kemudian kawan-kawan, saudara mara serta jiran-jiran perasan saya menanam pelbagai jenis pokok yang sihat dan menarik. Mereka turut berminat untuk membeli dan cuba menanam.
“Suami turut sokong minat dan turut sama bagi galakan dengan turut serta membantu dalam membina teduhan pokok,mencari pelbagai jenis pokok untuk koleksi serta permintaan pasaran,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Beliau berkata, beliau mula berniaga secara dalam talian di Facebook dan menyertai kumpulan-kumpulan yang berkaitan tanaman di laman sosial di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Peminat tanaman yang dekat, mereka lebih suka datang sendiri ke rumahnya manakala yang jauh mereka akan membeli secara dalam talian.
“Saya akan memberikan mereka keterangan mengenai tanaman yang mereka minati, dan seterusnya saya akan pos dengan menggunakan bungkusan khusus untuk mengepos,” katanya.
Jelasnya, penjagaan pokok sangat penting agar pokok yang ditanam tumbuh dengan baik serta sihat.
“Saya mementingkan cara pembajaan setiap jenis pokok kerana setiap pokok tidak sama jadual pembajaan mereka. Semburan racun serangga juga diutamakan agar tanaman sihat dan tidak rosak.
Azira tidak menyangka tanamannya dapat memberi pulangan kepada beliau.
“Setiap hari saya akan periksa medium tanamam samada tanah terlampau basah, pokok rosak,perlu tukar media tanaman lain atau proses baik pulih pokok,” ujarnya.
Katanya, harga ditawarkan bermula RM3 iaitu anak pokok herba sehingga RM1,500 iaitu tanaman dikenali sebagai Anthurium Regale Ecuador dan Ecuagenera Anthurium Warocqueanum.
“Baru-baru ini, seorang doktor perubatan dari Bangi telah membeli tanaman saya dikenali sebagai Anthurium Regale dengan harga RM650,” katanya.