Karnival Agro Madani bantu kurang beban sambut Aidiladha
Karnival Agro Madani bantu kurang beban sambut Aidiladha
PEKAN – Sambutan Aidiladha awal minggu ini dapat diraikan dengan sederhana tapi meriah di setiap lokasi di Pahang.
Selain aspek penguatkuasaan, kerajaan Pahang turut memperkenalkan inisiatif jualan barangan keperluan asas pada harga minimum.
Dengan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan FAMA, sebanyak empat lokasi dipilih untuk penganjuran karnival Agro Madani.
Antaranya di tapak pasar tani kekal di FELDA Chini, dekat Pekan.
Program itu dihadiri dan dirasmikan oleh Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
“Pelbagai produk dipamerkan dan dijual dengan harga yang sangat berpatutan kepada semua pengunjung yang hadir.
“Antaranya (barangan) keperluan asas dan keperluan hari raya Aidiladha.
“Selain itu, kira-kira 60 usahawan mempamerkan produk mereka yang dibangunkan oleh pihak FAMA yang mana boleh dipasarkan kepada peringkat yang luas dalam negara,” kata Amizar dalam satu hantaran di Facebook.
Program berkenaan turut dihadiri ADUN Chini, Shahrim Md Zain dan pihak pengurusan FAMA negeri dan Pusat.
Amizar turut memuji peranan dimainkan FAMA dalam membantu usahawan kecil dan sederhana di Pahang dalam meningkatkan kualiti produk yang mereka hasilkan. – SAHIH