6 Punca Rambut Bercabang, Hijabista Juga Ambil Perhatian!
6 Punca Rambut Bercabang, Hijabista Juga Ambil Perhatian!
Masalah rambut bercabang sering mengganggu kaum perempuan, terutama kepada anda yang mempunyai rambut panjang. Setiap kali sikat rambut nampak rambut rosak dan gugur. Hujung rambut adalah rambut yang paling tua dan sukar mendapat khasiat daripada badan. Selain memotong hujung rambut atau trim rambut setiap tiga bulan, anda juga perlu menjaga kesihatan rambut anda sendiri.
Cara Penjagaan Rambut
Perkara utama adalah cara anda menguruskan rambut, lebih-lebih lagi yang mempunyai rambut yang panjang. Pilih sikat yang lembut dan sesuai dengan rambut. Jangan sikat terlalu kasar. Jika ada bahagian rambut yang kusut, leraikan secara perlahan. Jangan lupa pakai serum atau minyak untuk menjaga kesihatan rambut.
Haba Panas
Elak amalkan mengeringkan rambut dengan pengering rambut. Anda perlu biarkan rambut anda kering semula jadi. Kurangkan juga menggunakan alat kerinting rambut dan luruskan rambut. Haba panas penyumbang besar kepada masalah rambut bercabang, kering dan mudah gugur. Jika anda perlu gunakan alat tersebut, pastikan anda letakkan minyak rambut untuk merawat semula rambut.
Gayakan Rambut
Terlalu banyak warnakan rambut, stail dan memakai topi yang menjadi punca rambut bercabang. Jika anda seorang yang sukakan perubahan pada rambut, pastikan anda menjaga kelembapan rambut dengan rapi. Jangan biarkan rambut kering dan putus.
Geseran
Rambut sensitif terhadap geseran. Jika terlalu kasar, rambut lebih mudah putus dan gugur. Apabila anda keringkan rambut menggunakan tuala, jangan gosok terlalu kuat. Sebaiknya, guna tuala jenis mikrofiber, tekap pada rambut dan biarkan rambut kering sendiri.
Sarung bantal turut memainkan peranan. Guna sarung bantal jenis kapas atau satin. Tukar setiap minggu. Mereka berhijab, selain tidak memakai tudung dengan rambut yang basah, jenis material anak tudung dan tudung juga boleh menyebabkan rambut bercabang dan rosak.
Cuaca
Cuaca di Malaysia agak lembap dan panas menyebabkan rambut mudah rosak dan bercabang. Oleh sebab itu, penjagaan rambut yang lebih rapi diperlukan lebih-lebih lagi kepada hijabista. Anda perlu pastikan rambut betul-betul kering sebelum memakai anak tudung dan tudung.
Cara Pemakanan
Masalah masyarakat di Malaysia adalah tidak menjaga diet dengan betul. Bukan sahaja menyumbang kepada masalah obesiti, ia juga boleh mempengaruhi kesihatan tubuh yang lain. Seperti rambut, anda perlu banyak minum air untuk mengekalkan kelembapan rambut. Banyakkan makan protein, kekacang, zat besi dan vitamin.