WANITA MENGAKU SALAH PUKUL KANAK-KANAK
WANITA MENGAKU SALAH PUKUL KANAK-KANAK
Kuala Pilah: Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini, atas tuduhan memukul adik iparnya di sebuah rumah di Felda Raja Alias 4, Jempol, dekat sini, 4 Jun lalu.
Tertuduh, Noor Asidah Md Nor, 35, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 4 Jun lalu jam 8.30 pagi, di rumah di Felda Raja Alias 4, Jempol.
Tertuduh sebagai penjaga kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu memukul menggunakan rotan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di seluruh anggota badan.
Kecederaan itu membabitkan belakang badan, kedua-dua belah tangan, kedua-dua belah kaki, telinga dan kepala.
Sehubungan itu, tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
Jika sabit kesalahan, tertuduh bakal berhadapan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam diberikan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Norma kemudian menetapkan satu tarikh lain bagi pelaksanaan hukuman sementara menunggu laporan penuh perubatan mangsa manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Julai ini, lapor HM online.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Christhoper Enteri Anak Mawan.
Dalam laporan media pada 5 Jun lalu, sepasang suami isteri ditangkap polis selepas dipercayai terbabit dalam kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Felda Raja Alias 4, Jempol.