RM1 juta bantu wanita terhimpit, mangsa keganasan rumah tangga
RM1 juta bantu wanita terhimpit, mangsa keganasan rumah tangga
PULAU PINANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan kira-kira RM1 juta tahun ini bagi membantu wanita yang berdepan kesukaran kewangan, termasuk mangsa keganasan rumah tangga.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan itu turut menyasarkan wanita yang terpaksa meninggalkan pasangan bersama anak-anak demi mendapatkan perlindungan dan meneruskan kehidupan.
Katanya, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perlindungan terhadap wanita yang menjadi mangsa keganasan menerusi bantuan kewangan, khidmat guaman dan sokongan psikososial.
“Kita boleh memberikan keyakinan dan kesedaran kepada mereka supaya mengetahui hak masing-masing dari segi undang-undang.
“Kita mempunyai program seperti Matahari dan IRIS, selain menyediakan bantuan guaman serta sokongan melalui peruntukan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Road to Eliminate Violence Against Women (EVAW) sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Peringkat Pulau Pinang 2026, semalam.
Nancy berkata, inisiatif bantuan kewangan itu mula dilaksanakan tahun ini dan kementerian berharap usaha berkenaan dapat diperkukuh pada tahun depan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan lebih ramai wanita yang berdepan kesukaran hidup, khususnya mangsa keganasan rumah tangga, mendapat bantuan sewajarnya.
Menurutnya, KPWKM turut menyediakan kemudahan rumah transit di setiap negeri sebagai tempat perlindungan sementara kepada mangsa yang memerlukan penempatan segera.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan mangsa mempunyai tempat berlindung ketika menghadapi situasi sukar.
Selain bantuan kewangan dan penempatan sementara, katanya, kementerian turut menawarkan perkhidmatan kaunseling serta sokongan psikososial bagi membantu mangsa menghadapi tekanan akibat keganasan yang dialami.
“Khidmat rujukan kepada agensi berkaitan juga disediakan bagi memastikan mangsa mendapat perlindungan dan bantuan mengikut keperluan masing-masing,” katanya.-SAHIH
#KeganasanRumahTangga #NancyShukri #KPWKM #BantuanWanita
