TLDM sasar petakan seluruh perairan negara sebelum 2050
TLDM sasar petakan seluruh perairan negara sebelum 2050
KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyasarkan proses pemetaan dasar laut di seluruh perairan negara dapat disiapkan sebelum 2050 menerusi perolehan dua aset hidrografi baharu.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain berkata, perolehan dua kapal jenis Survey Motor Launch (SML) itu sudah diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya, penambahan aset berkenaan dijangka mempercepatkan kerja pemetaan dasar laut yang ketika ini berdepan kekangan berikutan kemampuan aset sedia ada.
“Buat masa ini, kita hanya mempunyai sebuah kapal hidrografi untuk menjalankan kerja pemetaan dan agak sukar untuk meliputi keseluruhan perairan Malaysia.
“Sasaran kita sebenarnya sehingga 2050 dan itu pun dengan bantuan beberapa kapal yang disewa.
“Jadi, dengan perolehan dua kapal SML ini, proses pemetaan dapat dipercepatkan dan kita berharap sasaran itu dapat dicapai sebelum 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Seabed 2030 Indo-Pacific Ocean Mapping Meeting & Data Sprint 2026 di ibu negara, semalam.
Bagaimanapun, Zulhelmy berkata, proses perolehan kedua-dua aset berkenaan masih belum dimulakan walaupun sudah mendapat kelulusan.
Menurutnya, keupayaan hidrografi negara perlu terus diperkukuh memandangkan pemetaan dasar laut memainkan peranan penting dalam aspek sains, pembangunan serta keselamatan negara.
Katanya, keperluan itu semakin mendesak apabila laporan Seabed 2030 menunjukkan hanya 28.7 peratus dasar laut dunia berjaya dipetakan mengikut piawaian moden.
“Ini bermakna lebih 70 peratus dasar laut dunia masih belum dipetakan dengan secukupnya,” katanya.
Sementara itu, mengulas cadangan penggubalan Akta Hidrografi, beliau berkata, perkara berkenaan masih dalam peringkat perbincangan.
Katanya, akta itu diperlukan bagi menyediakan asas perundangan kepada Pusat Hidrografi Nasional sebagai pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab menghasilkan carta nautika rasmi.
Ia turut merangkumi tanggungjawab terhadap tadbir urus data hidrografi serta pengisytiharan keselamatan maritim negara.-SAHIH
#TLDM #PemetaanDasarLaut #Hidrografi #KeselamatanMaritim
