ECRL RM125 sehala, rakyat Kelantan anggap berbaloi jimat masa
ECRL RM125 sehala, rakyat Kelantan anggap berbaloi jimat masa
KOTA BHARU: Tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bermula RM125 sehala bagi perjalanan Gombak ke Kota Bharu disifatkan berbaloi kerana mampu menjimatkan masa, terutama ketika musim perayaan.
Perjalanan yang dijangka mengambil masa kira-kira empat jam itu menawarkan alternatif kepada rakyat Kelantan yang bekerja atau menetap di Lembah Klang untuk pulang ke kampung tanpa perlu berdepan kesesakan lalu lintas.
Norliana Che Ab Rahim berkata, kadar tambang ditawarkan berpatutan mengambil kira tempoh perjalanan lebih singkat dan keselesaan penumpang.
“Kalau mengambil kira penjimatan masa dan perjalanan lebih cepat, saya rasa memang berbaloi.
“Tambahan pula ketika musim perayaan, kita boleh mengelak kesesakan lalu lintas yang panjang dengan menggunakan ECRL,” katanya ketika ditemui Bernama, Selasa lalu.
Seorang lagi penduduk, Azni Zainal Abidin berkata, perkhidmatan itu bakal memudahkan rakyat Kelantan yang berada di Kuala Lumpur pulang menyambut Aidilfitri.
“Saya dapati tambang ECRL ini berpatutan dan dapat menjimatkan masa perjalanan rakyat Kelantan untuk pulang berhari raya,” katanya.
Mohd Nazri Hussin pula menyifatkan pelaksanaan ECRL sebagai kebanggaan rakyat negeri itu kerana berpeluang menikmati perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi.
“Sebagai penduduk Kota Bharu, ini sesuatu yang membanggakan. Kita dapat merasai perkhidmatan kereta api laju di negara sendiri dan harga diumumkan juga berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) akan menawarkan diskaun 30 peratus bagi tiket kelas ekonomi selama sebulan bermula 12 Disember ini sempena pembukaan perkhidmatan ECRL.
Jemaah Menteri turut meluluskan diskaun 50 peratus kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan pesara kerajaan.
Pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula layak menikmati diskaun 40 peratus.
Tambang Gombak-Kota Bharu bermula RM125 bagi perkhidmatan transit dan RM147 bagi ekspres.
Bagi laluan Gombak-Kuala Terengganu, tambang bermula RM95 bagi transit dan RM110 bagi ekspres, manakala Gombak-KotaSAS masing-masing RM60 dan RM68.-SAHIH
#ECRL #Kelantan #KotaBharu #PengangkutanAwam
