Kerajaan mahu sekat ejen tiket bas dalam talian tanpa lesen
Kerajaan mahu sekat ejen tiket bas dalam talian tanpa lesen
KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan dasar mewajibkan penjualan tiket bas ekspres melalui terminal berlesen bukan bertujuan menjejaskan perniagaan pengusaha bas, sebaliknya mengawal selia ejen penjualan tiket dalam talian (OTA) yang beroperasi tanpa lesen.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kebanyakan ejen berkenaan berpangkalan di luar negara dan memperoleh komisen daripada penjualan tiket tanpa menyediakan sebarang perkhidmatan pengurusan terminal.
Katanya, kementerian akan mengadakan sesi libat urus dengan pengusaha bas ekspres bagi memberikan penjelasan berhubung pelaksanaan dasar berkenaan.
“Tidak, mereka belum memahami perkara itu. Jadi, akan ada sesi libat urus untuk menerangkan kepada mereka.
“Tidak ada kerugian kepada syarikat bas. Yang kita nak sekat ialah ejen tiket dalam talian yang kebanyakannya berada di luar negara.
“Mereka menjual tiket dan mendapat komisen, tetapi tidak memberikan apa-apa perkhidmatan termasuk menguruskan operasi di terminal,” katanya.
Anthony Loke berkata, langkah itu bertujuan memastikan semua urusan penjualan tiket bas ekspres disalurkan melalui terminal yang dilesenkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menurutnya, dasar berkenaan juga penting bagi memastikan pengurusan terminal dan perkhidmatan kepada penumpang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Katanya, kewujudan ejen tiket dalam talian yang hanya mengutip komisen tanpa menyediakan perkhidmatan operasi turut menimbulkan persoalan mengenai akauntabiliti sekiranya berlaku gangguan perjalanan atau permohonan bayaran balik.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan pengusaha bas ekspres bahawa dasar berkenaan boleh menjejaskan pelaburan mereka dalam pembangunan laman web penjualan tiket sendiri.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, kementeriannya akan memberikan penjelasan kepada pemain industri bagi mengelakkan salah faham mengenai tujuan sebenar pelaksanaan dasar itu.
Katanya, sebarang perbincangan mengenai aturan komersial akan diadakan secara langsung antara pengendali terminal dengan syarikat bas.
“Perkara itu membabitkan urusan perniagaan antara kedua-dua pihak, manakala kementerian bertanggungjawab menetapkan kerangka dasar,” katanya.-SAHIH
#BasEkspres #AnthonyLoke #APAD #TiketBas
