Diskaun 30 peratus tiket ECRL sempena pembukaan 12 Disember
Diskaun 30 peratus tiket ECRL sempena pembukaan 12 Disember
KUALA LUMPUR: Pengguna Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menikmati diskaun tambang sebanyak 30 peratus selama sebulan sempena pembukaan rasmi perkhidmatan itu yang dijadual bermula 12 Disember depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tawaran istimewa itu diberikan kepada penumpang yang tidak menikmati kadar konsesi sedia ada.
Katanya, golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar pula akan terus menikmati potongan tambang sebanyak 50 peratus secara tetap.
“Diskaun 30 peratus akan diberikan kepada tiket perkhidmatan ECRL selama sebulan sempena pembukaan rasmi ECRL ini.
“ECRL dijangka memulakan perkhidmatan pada 12 Disember dan penjualan tiket akan bermula tidak lama lagi.
“Untuk bulan pertama, orang ramai akan menikmati diskaun 30 peratus, manakala kategori seperti OKU, warga emas dan pelajar mendapat diskaun 50 peratus secara tetap,” katanya.
Beliau berkata, penjualan tiket perkhidmatan berkenaan dijangka bermula pada pertengahan November ini.
Menurutnya, penetapan kadar tambang ECRL mengambil kira kemampuan pengguna selain memastikan kemampanan operasi syarikat dalam jangka panjang.
Katanya, perkhidmatan itu bakal menawarkan keselesaan dan tempoh perjalanan yang setanding dengan pengangkutan udara, namun pada kadar tambang lebih rendah.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, kadar caj pengangkutan kargo ECRL akan disemak oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) apabila tiba masa sesuai.
Mengulas perkembangan lain, beliau berkata, Jemaah Menteri sudah meluluskan cadangan sambungan jajaran ECRL sepanjang 32 kilometer dari Kota Bharu ke Rantau Panjang sehingga sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, kelulusan itu dibuat susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China bulan lalu.
“Kerajaan sudah memberikan kelulusan dan ketika ini projek berada pada peringkat kajian teknikal serta pengambilan tanah.
“Projek ini dijangka mengambil masa kira-kira empat setengah tahun untuk disiapkan,” katanya.
Beliau berkata, dua tahun pertama pelaksanaan akan memberikan tumpuan kepada urusan pengambilan tanah dan penilaian teknikal termasuk tanah milik kerajaan negeri serta pemilik persendirian di sepanjang jajaran terbabit.-SAHIH
#ECRL #DiskaunTambang #AnthonyLoke #PengangkutanAwam
