VAKSINASI LENGKAP: BOLEH RENTAS DAERAH
VAKSINASI LENGKAP: BOLEH RENTAS DAERAH
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan beberapa kemudahan bagi individu lengkap vaksinasi yang akan berkuat kuasa 10 Ogos ini.
Muhyiddin berkata, kebenaran rentas daerah dan negeri akan dibenarkan kepada pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa yang sudah menerima suntikan dos vaksin lengkap untuk bertemu anak bawah 18 tahun berkuatkuasa Selasa depan.
Beliau berkata, kemudahan lain dibenarkan adalah seperti kuarantin dan perjalanan untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun wajib menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.
Beliau berkata, kelonggaran untuk menunaikan solat jemaah di masjid dan surau turut di diberikan kepada individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap dengan kemudahan terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.
“Pihak masjid dan surau perlu pastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang selepas selesai solat.
“Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan bahawa individu berkenaan sudah menerima vaksinasi lengkap.
“Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat namun pelaksanaannya ( kemudahan) adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat Selain Islam,” katanya dalam Perutusan Khas secara maya, hari ini
Menurut Muhyiddin, kerajaan juga bersetuju memberikan kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya
Katanya, antara kemudahan itu termasuklah kebenaran rentas daerah , aktiviti makan di premis (dine-in), aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal serta bukan berkumpulan dan pelancongan dalam negeri sama membabitkan rumah inap desa (homestay) dan hotel.
“Individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi Covid-19 yang menunjukkan individu berkenaan sudah menerima vaksinasi lengkap
“Jika dibandingkan dengan aktiviti sosial lain, aktiviti makan di premis sememangnya mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana pelitup muka akan dibuka ketika makan dan juga ketika berbual dengan teman semeja sekali gus mendedahkan individu tersebut kepada jangkitan Covid-19.
“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai untuk dine-in apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama dan orang ramai dinasihatkan untuk bungkus (take-away) jika situasi mengizinkan selain memilih sistem pengudaraan yang baik dan terbuka,”