Abdul Fattah antara 16 pemimpin dunia terajui Lembaga Global ICA
Abdul Fattah antara 16 pemimpin dunia terajui Lembaga Global ICA
PANAMA: Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah mencipta pencapaian penting buat gerakan koperasi negara apabila terpilih sebagai seorang daripada 15 Ahli Lembaga At-Large International Cooperative Alliance (ICA) bagi penggal 2026 hingga 2030.
Pemilihan itu berlangsung pada Perhimpunan Agung ICA 2026 di Panama Convention Centre, Panama City, pada 15 September lalu yang menyaksikan 16 pemimpin koperasi dari 16 negara dipilih menganggotai kepimpinan global organisasi berkenaan.
Selain Abdul Fattah yang mewakili Malaysia, 15 Ahli Lembaga At-Large yang dipilih turut datang dari Kanada, Brazil, India, Itali, Amerika Syarikat, China, Jepun, Paraguay, United Kingdom, Türkiye, Sepanyol, Colombia, Poland dan Perancis.
Dr Ariel Guarco pula dipilih tanpa bertanding untuk meneruskan kepimpinan sebagai Presiden Lembaga Global ICA.
Pemilihan kali ini membabitkan 116 pengundi yang mewakili 193 organisasi anggota dari 66 negara, sekali gus mencerminkan proses demokrasi dalam menentukan kepimpinan gerakan koperasi dunia bagi tempoh empat tahun akan datang.
Lembaga Global ICA mempunyai 30 kerusi merangkumi Presiden, empat Naib Presiden yang mewakili rantau ICA, lapan wakil organisasi sektoral, wakil belia, wakil Jawatankuasa Kesaksamaan Gender serta 15 Ahli Lembaga At-Large.
Pemilihan Abdul Fattah membuka ruang lebih luas kepada suara gerakan koperasi Malaysia untuk diketengahkan dalam perbincangan dan penetapan hala tuju ICA di peringkat antarabangsa.
Barisan kepimpinan baharu itu turut disertai empat Naib Presiden rantau serta wakil organisasi sektoral, Jawatankuasa Belia dan Jawatankuasa Kesaksamaan Gender.
Perhimpunan Agung berkenaan diadakan dalam rangka Minggu Persidangan Global ICA di Panama dengan membawa tema “Building Bridges: Cooperative Contributions to a Peaceful World.”-SAHIH
#kw Abdul Fattah Abdullah, ICA, ANGKASA, koperasi
