USMAN KEKAL KEJUARAAN UFC
USMAN KEKAL KEJUARAAN UFC
LOS ANGELES: Kamaru Usman menundukkan pencabarnya, Gilbert Burns menerusi knockout pada pusingan ketiga saingan UFC 258 di Las Vegas, semalam
Kejayaan itu menyaksikan Usman terus melebarkan penguasaannya yang sekali gus dilihat sukar digugat bagi kelas welterweight UFC.
“Ini sangkar saya,” kata Usman.
“Saya juara kelas welterweight yang tidak dapat dipertikaikan dengan satu alasan.
“Saya adalah yang terbaik di planet ini. Saya di sini untuk terus kekal,” katanya.
Kemenangan itu menjadikan rekod sepanjang kariernya 18-1 dan atlet berusia 33 tahun yang digelar Nigerian Nightmare kini memegang rekod 13-0 di UFC.
KAMARU USMAN
Ini juga kemenangan terpanjang untuk kelas welterweight di UFC, melepasi rekod 12-0 yang dilakar bekas juara dari Kanada, Georges St-Pierre, yang boleh dikatakan sebagai atlet terhebat pernah disaksikan dalam sukan ini, lapor BH Online.
Kemahiran pertarungan yang dipersembahkan membawa Usman ke puncak.
Burns hadir ke MMA selepas memenangi banyak gelaran dunia dalam jiu-jitsu di Brazil dan Usman berusaha keras mempertahankan pencapaiannya.
Ketika memasuki gelanggang pertarungan, Burns mengatakan bahawa dia sudah meningkatkan kekuatan untuk menandingi Usman.