UMNO Jerantut seru jentera kuasai medan digital hadapi PRN Johor
UMNO Jerantut seru jentera kuasai medan digital hadapi PRN Johor
Beliau berkata, pengalaman lalu menunjukkan musim pilihan raya sering disusuli dengan penyebaran pelbagai persepsi negatif, fitnah serta serangan peribadi yang dimainkan melalui pelbagai platform media sosial.
JERANTUT: Jentera UMNO perlu bersedia menghadapi pelbagai bentuk propaganda dan serangan politik yang dijangka semakin rancak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud.
Menurutnya, UMNO dijangka menjadi sasaran utama serangan menerusi aplikasi TikTok, Facebook, Instagram, X dan medium digital lain bagi mempengaruhi persepsi pengundi.
“Kita menjangkakan pelbagai isu akan dimainkan termasuk berkaitan kerjasama politik, kepimpinan parti dan pelbagai dakwaan yang bertujuan membentuk persepsi negatif terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN).

“Justeru, seluruh jentera perlu bersedia menghadapi situasi itu secara matang, berhemah dan bijaksana tanpa terikut-ikut dengan provokasi yang dibangkitkan pihak lawan,” katanya ketika mengulas persiapan menghadapi PRN Johor.
Razak berkata, ahli dan penyokong UMNO dari seluruh negara juga digalakkan membantu kempen di Johor mengikut kemampuan serta pengalaman masing-masing bagi memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi.
Beliau yakin BN mempunyai peluang cerah untuk mencatat kemenangan besar sekiranya jentera parti terus bersatu dan memberi tumpuan kepada usaha mendekati rakyat.

Katanya, antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian ialah usaha pihak tertentu yang didakwa cuba mempengaruhi pengundi melalui pelbagai sentimen dan persepsi yang dimainkan sepanjang tempoh kempen.
“Jentera UMNO perlu mematahkan setiap dakwaan dengan fakta serta penerangan yang tepat. Kita tidak boleh membiarkan fitnah dan persepsi negatif berleluasa tanpa jawapan yang sewajarnya,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan penguasaan politik digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diperkasakan bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada rakyat.

Menurutnya, golongan muda khususnya Generasi Z perlu diberikan penjelasan yang tepat supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih atau bersifat mengelirukan sepanjang tempoh kempen.
“Kita berharap pengundi muda dapat menilai sesuatu isu secara rasional berdasarkan fakta serta rekod pencapaian, bukannya dipengaruhi sentimen atau dakwaan yang tidak dapat dibuktikan,” katanya.-SAHIH
