Ubahsuai MPV miliknya jadi van jenazah
Foto atas : Shamsudin Basar di sisi van jenazah yang diubahsuai dari kenderaan serbu guna miliknya untuk memberi perkhidmatan percuma kepada penduduk di daerah Batu Pahat.
Ubahsuai MPV miliknya jadi van jenazah
BATU PAHAT – Nekad mengubah suai Kenderaan Serba Guna (MPV) miliknya, kini Shamsudin antara individu yang menyediakan perkhidmatan percuma van jenazah bagi penduduk di Batu Pahat, Johor.
Shamsudin Basar berkata, hasrat beliau itu hanya semata-mata membantu mereka yang ditimpa musibah terutama kematian yang sudah tentu berada dalam kesusahan termasuk dalam kalangan golongan berada yang perlu diberi bantuan.
Katanya, dia ingin membuat amal kebajikan tidak kira kepada siapapun mereka itu kerana kematian akan membuat seseorang berada dalam keadaan tertekan maka adalah lebih baik kita meringankan bebanan berkenaan dengan urusan menghantar dan mengebumikan jenazah.
Jelasnya, bagi menambahkan keberkesanan perkhidmatan itu dia berkongsi van jenazah berkenaan dengan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Jati Batu Pahat dan beliau pula dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan dan Agama.
“Justeru saya diamanahkan untuk menjaga dan menguruskan kenderaan jenazah itu sebaik mungkin dan bersedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa apabila ada individu atau pihak tertentu yang meminta bantuan.
“Dalam hal sedemikian saya dengan ikhlas akan sentiasa ambil peduli dan korbankan diri untuk melaksanakan tugas tanpa kira waktu supaya dapat membantu serta meringankan bebanan mereka yang terbabit terutama dalam kalangan keluarga kurang berada,” katanya.
Shamsudin yang juga dikenali dengan panggilan Din Bintang, berkata bagi memudahkan urusan orang ramai untuk menghubungi bagi meminta bantuan nombor telefon beliau berada dalam senarai yang disediakan pihak hospital khusus bagi urusan kenderaan jenazah.
Menurutnya, seperti sedia maklum dan ditetapkan oleh pertubuhan berkenaan perkhidmatan yang diberikan itu adalah percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran supaya tidak menimbulkan kekeliruan sesetengah pihak.
Tambahnya, bagaimanapun ada sesetengah individu atau pihak terbabit menghulurkan sumbangan sebagai sedekah dan beliau gunakan untuk menampung kos penyelenggaraan kenderaan itu selain diinfak daripada kawan.
“Saya berasa bangga dan lapang dada apabila dapat menghulurkan bantuan dalam urusan menghantar serta mengebumikan jenazah yang menjadi lancar, paling penting perkara ini dapat disegerakan dengan sempurna.
“Walaupun sudah bersara saya masih dapat meneruskan usaha murni dengan memudahkan urusan mereka terutama penduduk di daerah Batu Pahat inI cuma berbeza sewaktu bertugas dengan bank dahulu,” katanya. -SAHIH.