TUKANG MASAK MATI KENA TIKAM
MANGSA DIPERCAYAI DITIKAM LEBIH 10 KALI
GEORGETOWN: Lelaki yang juga tukang masak ditemukan dalam keadaan cedera parah dipercayai ditikam sebanyak 10 kali di hadapan pondok pengawal berhampiran pangsapuri di Paya Terubong, di sini, semalam.
Mangsa yang berusia 42 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu mangsa dikatakan bertemu dengan suspek yang juga pengawal keselamatan lelaki berusia 65 tahun di pondok pengawal pangsapuri itu kira-kira jam 8 malam.
Seperti yang dilaporkan katanya, disebabkan tidak tahan dengan sikap mangsa yang sering mengganggu dan mengugutnya, suspek bertindak menikam mangsa dengan pisau di tempat kejadian.
“Bapa kepada dua anak itu kemudian dikejarkan ke HPP sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mangsa dilaporkan mengalami cedera parah akibat 10 tikaman di bahagian badan,” katanya di sini, hari ini.
Soffian berkata, mangsa dan suspek adalah penduduk di pangsapuri berkenaan.
GAMBAR HIASAN
Katanya, suspek ditahan di rumahnya pada jam 10.30 malam dan polis turut merampas pisau yang dipercayai digunakan bagi menikam mangsa.
“Suspek yang belum berkahwin didapati mempunyai dua rekod jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat pada hari ini di Mahkamah Georgetown,” katanya