THE BLUES BELASAH PALACE
Berita Sukan
THE BLUES BELASAH PALACE
LONDON: Ben Chilwell meledak gol pertama buat Chelsea ketika pemain pertahanan itu mempamerkan aksi dinamik pada penampilan sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk membantu The Blues membelasah Crystal Palace, di sini, sebentar tadi.
Dibelenggu dengan masalah kecederaan, Chilwell sebelum ini bermula lewat pada musim pertama bersama Chelsea susulan perpindahan sebanyak 50 juta pound (RM269.3 juta) dari Leicester pada Ogos lalu.
Namun pertahanan kiri England itu menebus kekecewaan selepas mempamerkan persembahan berpengaruh dalam perlawanan ketiga selepas beraksi dua perlawanan dalam Piala Liga Inggeris sebelum ini.
Ketika pengendali Chelsea, Frank Lampard membuat pelaburan menghimpunkan bakat di jentera serangan sejak penghujung musim lalu, usaha Chilwell berhasil apabila bijak mengucar-kacirkan barisan pertahanan Palace di Stamford Bridge.
Sentuhan penyudah Chilwell meletakkan Chelsea di depan selepas separuh masa kedua bersambung lima minit dan dia melakukan gerakan buat Kurt Zouma yang menanduk bola untuk gol kedua The Blues pada minit ke-66.
Jorginho kemudian melengkapkan kemenangan selesa Chelsea selepas menyempurnakan dua penalti dalam tempoh 12 minit terakhir permainan iaitu minit ke-78 dan 82.
Sumber: AFP