KOSONGKAN KEBUN HARAM DALAM MASA TERDEKAT

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersedia meneruskan penguatkuasaan pengosongan tanah ditanam dengan durian MUSANG KING secara haram di sekitar Raub dalam tempoh terdekat.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, selepas Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menolak permohonan 204 pekebun durian MUSANG KING untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan negeri.

Beliau mengakui kerajaan negeri bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan bersedia untuk meneruskan operasi penguatkuasaan pengosongan tanah terbabit pada bila-bila masa.

“Tiada lagi tempoh masa diberikan kepada semua pekebun yang meneroka tanah itu secara haram.

“Pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, kita bersetuju bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilakukan dalam tempoh segera,” katanya seperti dilapor BH ONLINE.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, penguatkuasaan ke atas kebun durian MUSANG KING itu akan dilaksanakan seperti kes penerokaan tanah haram di Lembah Bertam dan Sungai Ichat di Cameron Highlands.