LEBIH 20 TAHUN WALLPAPER WINDOWS XP, KETAHUI KISAH GAMBAR TERSEBUT

Masih ingatkah anda wallpaper bukit berumput hijau segar dan langit yang membiru suatu ketika dahulu? Pasti terbayang wallpaper yang menjadi ‘pemandangan’ kepada pengguna Windows XP.

Inilah gambar yang sering menjadi peneman. Tahukah anda kisah gambar tersebut? Adakah pemandangan seperti ini wujud di dunia nyata? Atau hanya direka untuk ‘sedap’ mata memandang?

Nama gambar ini adalah ‘Bliss’ yang diambil oleh seorang jurugambar iaitu Charles O’Rear pada tahun 1998 di Lebuhraya 121 di Sonoma County, California.

Kisah di sebalik gambar ini adalah O’Rear sedang dalam perjalanan ke Marin County. Secara tiba-tiba dia ternampak kawasan berbukit itu dan berhenti untuk mengambil gambar.

Menurut sumber, sebanyak empat keping gambar kawasan tersebut diambil dan O’Rear muat naik gambar-gambar itu ke laman web Corbis untuk dijual lesen penggunanya.

Beberapa tahun kemudian, gambar tersebut berjaya menarik perhatian pihak Microsoft untuk dijadikan penghias skrin Windows XP.

Syarikat tersebut menghubungi O’Rear untuk membeli hak cipta gambar tersebut dengan nilai yang tinggi.

Ramai pengguna Windows XP beranggapan gambar wallpaper yang tertera pada skrin adalah gambar palsu dan hanya direka tapi sebenarnya kawasan tersebut wujud.

Menurut O’Rear, kawasan itu sememangnya rumput hijau, langit biru dan berbukit, pihak Microsoft hanya menambah warna pada bahagian bukit sahaja.

Jom tengok YouTube lokasi gambar tersebut sekarang ini.

SUMBER: PC WORLD