HADI TAK DIJADUAL MENGHADAP YDP AGONG

KOTA BHARU: Ketika pimpinan kanan beberapa parti politik dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, PAS pula tidak dijadualkan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

“Tidak,” katanya ringkas melalui pesanan aplikasi WhatsApp, pagi tadi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika ditanya sama ada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dijadualkan mengadap Al Sultan Abdullah di Istana Negara dalam masa terdekat.

Ia susulan perkembangan semasa politik selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim menghadap Seri Paduka, semalam, bagi mempersembahkan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Sumber: Malaysiakini