PENJARA TANGGUH SEMUA SESI PERJUMPAAN

Berita Nasional

PENJARA TANGGUH SEMUA SESI PERJUMPAAN

Jabatan Penjara Malaysia menangguhkan semua sesi perjumpaan bersama penghuni susulan peningkatan kes COVID-19.

“Adalah dimaklumkan bahawa sesi perjumpaan di antara keluarga penghuni bersama penghuni di seluruh institusi ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak bermula 14 Oktober 2020.

“Sesi perjumpaan ini termasuk lawatan yang melibatkan pihak peguam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), kedutaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan itu berkata, tindakan berkenaan dilakukan bagi mencegah dan membendung penularan wabak COVID-19 di kalangan penghuni dan individu yang berhubung dengan institusi penjara.

“Ini merupakan salah satu langkah bagi bagi mencegah dan membendung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan penghuni dan individu yang berhubung dengan institusi penjara,” katanya.

Tambah jabatan itu, jika terdapat pertanyaan lanjut, boleh merujuk kepada pihak institusi penjara yang berkenaan.

Maklumat tentang institusi penjara juga boleh diperoleh di pautan berikut.

Setakat semalam, negara merekodkan sebanyak 660 kes baru COVID-19 dan ini menyaksikan keseluruhan kes aktif negara berjumlah 5,345 kes.

Kluster penjara seperti Penjara Reman di Pulau Pinang dan Kluster Tembok di Alor Star, Kedah antara yang menunjukkan peningkatan kes mendadak bagi wabak itu.

Jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) kini adalah 101 kes dengan 32 yang memerlukan ventilator.