MENYELAM DI KOTA TENGGELAM, TARIKAN TERBAHARU DEEP DIVE DUBAI

Selepas 11 tahun memegang Guinness World Record mempunyai bangunan tertinggi di dunia, The Burj Khalifa, kini Dubai merekodkan memiliki kolam paling dalam pula.

Kolam terdalam itu diberi nama Kolam Deep Dive Dubai yang terletak di Nad El Sheba I, Dubai, Emiriah Arab Bersatu, 25 minit dari Bandar Antarabangsa Dubai.

Kolam Deep Dive mempunyai kedalaman 60 meter dan dipenuhi dengan 14 juta liter air tawar.

Tarikan baharu itu mempunyai enam kolam renang berukuran Olimpik dan sekurang-kurangnya empat kali lebih besar daripada kolam menyelam yang lain.

Pada 27 Jun lalu, Kolam Deep Dive mendapat gelaran ‘Kolam Terdalam Untuk Menyelam’ daripada Guinness World Record.

Struktur bangunan berbentuk tiram seluas 1,500 meter persegi bagi mengekalkan sejarah sebagai negara penyelam mutiara.

Suhu air kolam tersebut kekal dengan 30 darjah celsius untuk para penyelam mengenakan pakaian nipis atau baju renang yang biasa digunakan.

Apa yang menarik Kolam Deep Dive ini, penyelam dapat meneroka kota terbengkalai dan binaan bangunan hingga ke dasar.

Penyelam dapat merasai bermain arcade, masuk ke perpustakaan, kediaman apartment, bilik tidur, studio, berbasikal dan kereta.

Kolam ini dilengkapi dengan sistem pencahayaan dan suara berteknologi tinggi untuk mencipta atmosfer yang berbeza.

Selain daripada tarikan untuk penyelam, kolam ini menawarkan kursus menyelam kepada mereka yang tiada pengalaman dan ingin menikmati keindahan kota dalam air bersama pemandu selam yang sah.

Walau bagaimanapun, sebanyak 56 kamera telah dipasang di sekitar kolam untuk memastikan keselamatan penyelam semasa melakukan aktiviti.

Pengarah Kolam Deep Dive Dubai, Jarrod Jablonski berkata, kolam ini bukan sahaja terdalam dan terbesar, tetapi ia seakan kesan bandar yang tenggelam yang akan menjadi tarikan kepada seluruh dunia.

Kolam tarikan pengunjung akan dibuka kepada orang awam pada akhir tahun ini.

Namun, pada masa sekarang kolam hanya dibuka kepada jemputan khas sahaja seperti Putera Mahkota Dubai Sheikh Hamdan bin Mohammed bin Rashid Al Maktoum, salah seorang penyelam yang berkongsikan pengalaman meneroka bandar tenggelam ini di media sosial.

SUMBER: CNN