Jalan raya Karak – Simpang Pelangai bernilai RM1 bilion bakal dibina

Foto atas : Lebuhraya Tengah Utama bakal disambungkan ke Simpang Pelangai sejauh 30 kilometer .

Jalan raya Karak – Simpang Pelangai bernilai RM1 bilion bakal dibina

LIPIS – Projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bernilai RM1 bilion antara Karak ke Simpang Pelangai, Bentong akan dibina.

Timbalan Menteri kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam peringkat menyediakan reka bentuk jajaran laluan berkenaan bermula daripada Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) ke Simpang Pelagai kira-kira sejauh 30 kilometer.

“Setelah reka bentuk itu siap, JKR akan membawa ke pengetahuan kerajaan negeri dan kemudiannya akan dibentangkan menjelang Bajet 2024 penghujung tahun ini.

“Perancangan projek ini perlu dilakukan secara teliti memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi serta kajian manfaat tempoh jangka panjang bagi pengguna jalan raya,” katanya.

Katanya, kerajaan menerusi JKR juga dalam perancangan untuk menyambung projek LTU antara Simpang Pelangai, Bentong melalui Negeri Sembilan ke Johor Bharu selepas projek LTU Karak – Simpang Pelangai dibina.

“Kerajaan perlu  mengambil masa untuk projek LTU yang bersambung ke  Simpang Pelangai untuk menyelesaikan projek yang sama dari Bentong – Raub – Lipis dan berakhir di Kota Bahru dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.- SAHIH.