CICAK TOKEK JADI KEGILAAN RAMAI. SEBELUM PELIHARA, ANDA PERLU TAHU PERKARA ASAS INI

Ramai yang menyayangi haiwan. Ada sesetengah orang hanya sukakan haiwan tapi tidak pelihara, ada juga yang sukakan haiwan dan pelihara dalam rumah.

Kumpulan haiwan ada pelbagai jenis antaranya jenis ikan, mamalia, amfibia, burung, reptilia dan banyak lagi.

Untuk pencinta haiwan eksotik seperti gecko, sejenis haiwan yang berada dalam kumpulan reptilia, mungkin tak asing lagi dengan haiwan jenis cicak ini.

Gecko dikenali juga sebagai cicak tokek atau cicak gurun.

Cicak ini seakan cicak biasa yang ada dalam rumah tapi memiliki lorekan warna kulit yang terang dan unik menyebabkan cicak ini bernilai dan boleh mencapai harga yang tinggi.

Gecko juga sangat sinonim dengan haiwan yang sangat happy go lucky kerana apa juga keadaan haiwan ini akan sentiasa tersenyum. Comelnya!

Siapa yang berminat dengan gecko dan berhasrat untuk memeliharanya, anda boleh baca artikel ini untuk meneruskan hobi anda.

Gecko peliharaan, bernama Tunui milik Sara Sufia

Sediakan Kandang Atau Sangkar

Gecko perlukan rumah sendiri. Anda perlu sediakan sangkar untuk haiwan ini berehat.

Sediakan tempat yang selesa, bersih dan menjamin kesihatan cicak gurun.

Sangkar yang diperlukan adalah yang diperbuat daripada kaca atau plastik jernih dan jangan terlalu sempit.

Dalam sangkar pula, gecko sangat perlukan tempat bersembunyi dan alaskan dengan kertas atau kain.

Jangan lupa sediakan tempat makan dan minum. Hiaskan dengan kayu kecil untuk gecko berehat.

Gecko peliharaan, bernama Tunui milik Sara Sufia

Bersihkan Sangkar

Walaupun haiwan ini dianggap mempunyai ketahanan badan yang tinggi tetapi kebersihan sangkar mempengaruhi kesihatan gecko.

Kadang-kadang sangkar kotor adalah penyumbang utama gecko akan sering sakit dan cepat mati.

Buang najis gecko dan gantikan alas sangkar untuk gecko terhindar dari bakteria.

Pencahayaan Yang Baik

Disebabkan cicak gurun ini sukakan haba yang tinggi, pastikan anda menyediakan tempat yang tidak terlalu sejuk.

Anda boleh memasang lampu yang berwarna kuning, merah atau biru untuk mendapatkan suhu yang normal kerana gecko agak aktif pada waktu malam.

Jenis Makanan

Jaga haiwan perliharaan anda dengan baik. Dari tempat tinggal hingga makanan.

Gecko perlu makanan yang cukup nutrisi untuk menjamin kesihatan dan umur yang panjang.

Cicak tokek ini makan serangga kecil seperti lalat, cengkerik dan cacing. Cacing yang menjadi kegemaran haiwan autotomi ini adalah cacing jenis waxworm, superworm dan mealworm.

Jangan biarkan gecko makan serangga liar kerana akan menyebabkan keracunan dalam badannya.

Multivitamin

Eh, gecko pun makan vitamin? Ye! Untuk gecko yang dipelihara, sediakan vitamin D3 bertujuan untuk menjaga tulangnya.

Untuk menjaga berat gecko, anda boleh sediakan makanan dengan campurkan madu dengan bekas minuman gecko.

Selain itu, campurkan sedikit kuning telur dalam makanannya. Berikan vitamin atau makanan tambahan ini sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

Untuk melihat gelagat Tunui dan pemiliknya, Sara Sufia boleh klik Tiktok atau Instagram.